Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh seorang putera dari Palembang iaitu Parameswara di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan Islam. Hal ini berubah pada tahun 1409[1] apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Syah. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan Kesultanan Johor bagi mewarisi Kesultanan Melaka.
Pengasasan Melaka
Parameswara | ||
---|---|---|
Sultan Melaka Pertama, Raja Temasek ke 4 | ||
Gambaran pelukis tentang Parameswara | ||
Pemerintahan | Kesultanan Melaka: c. 1400-1414 | |
Gelaran | Putera Sriwijaya | |
Lahir | 1344 | |
Mangkat | 1414 | |
Melaka, Kesultanan Melaka | ||
Pendahulu | Paduka Seri Rana Wira Kerma, Raja Temasek. | |
Pengganti | Megat Iskandar Shah | |
Kerabat diraja | Kerabat Diraja Melaka, Sriwijaya | |
Ayahanda | Paduka Seri Rana Wira Kerma |
Parameswara (1344-1414[1] ) merupakan seorang Raja Temasek yang berketurunan diraja Srivijaya yang menubuhkan kerajaan Melaka pada 1402. [2]
Menurut Sejarah Melayu, Parameswara yang dilahirkan sebagai Dharmaraja adalah Raja Singapura terakhir yang berasal dari keturunan Srivijaya. Pada tahun 1324, seorang putera Srivijaya dari Bentan bernama Sang Nila Utama telah menawan Temasek dan menubuhkan kerajaan Singapura lama. Baginda memerintah selama 48 tahun dan diiktiraf sebagai Raja Singapura oleh satu utusan dari Maharaja China pada tahun 1366. Baginda secara rasmi bergelar Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana, Batara Sri Tri Buana bermaksud "Yang Dipertuan kepada tiga dunia" melambangkan kekuasaan baginda ke atas Palembang, Bentan dan Temasek. Terdapat tiga orang lagi Raja dari keturunan baginda yang memerintah Singapura iaitu, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386), Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 - 1399) dan yang terakhir Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 - 1401). Pada 1401, kerajaan Majapahit menyerang Singapura dengan bantuan Bendahara yang belot, Sang Rajuna Tapa. Parameswara telah berjaya melarikan diri menuju ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk membuka ibu negeri yang baru.[2][3] Menurut "Suma Oriental", Parameswara ialah seorang raja Palembang yang menggantikan ayahandanya, Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill, sewaktu beliau menggelarkan dirinya sebagai Mjeura ("orang yang berani"). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura. Setelah membunuh wakil Raja Siam (bernama Tamagi) di Singapura, Parameswara menjadi pemerintah palsu pada satu tempoh yang tidak lama kerana beliau telah diserang dan dihalau oleh pihak Siam tidak lama selepas itu. Dengan seribu pengikutnya, beliau menuju ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk mencari tempat perlindungan yang baru. |
Menurut Sejarah Melayu, selepas kejatuhan Empayar Srivijaya di Palembang pada abad ke-14, keluarga diraja Srivijaya yang terselamat telah melarikan diri ke pulau-pulau sekitarnya yang masih setia kepada Srivijaya.
Pada tahun 1324, seorang putera Srivijaya bernama Sang Nila Utama menawan Temasek dan membunuh gabenor yang dilantik kerajaan Ayuthaya, Temagi. Baginda kemudiannya mengasaskan kerajaan Singapura lama. Baginda terus memerintah selama 48 tahun dan kekuasaannya diiktiraf oleh satu utusan dari Maharaja China pada tahun 1366. Baginda secara rasmi bergelar Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana, Batara Sri Tri Buana bermaksud "Yang Dipertuan kepada tiga dunia" melambangkan kekuasaannya ke atas Palembang, Bintan dan Temasek.[3]
Baginda mangkat pada tahun 1372 dan digantikan oleh anaknya, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386) dan cucunya, Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 - 1399).[4]
Pada tahun 1399, cicit Sang Nila Utama, Dharmaraja menaiki takhta kerajaan Singapura dengan gelaran Paduka Sri Maharaja Parameswara. Bagaimanapun, pada tahun 1401, baginda telah melarikan diri dari Singapura selepas serangan tentera Majapahit yang berkomplot dengan Bendahara yang belot, Sang Rajuna Tapa.[5]
Mendirikan Kesultanan Melaka
Paramesawara melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu untuk mendirikan penempatan baru. Di Muar, Parameswara dikatakan berhasrat mendirikan negeri barunya samada di Biawak Busuk atau Kota Buruk. Bagaimanapun, setelah mendapati Muar tidak sesuai baginda membatalkan hasratnya dan meneruskan perjalanan ke utara. Di tengah perjalanannya, baginda dikatakan singgah di Sening Ujung (nama lama Sungai Ujong) sebelum sampai ke sebuah kampung nelayan di muara Sungai Bertam (nama lama Sungai Melaka). Di sinilah baginda mendirikan ibu kota baru untuk negerinya dan menamakannya Melaka. Menurut catatan Sejarah Melayu, di sinilah baginda melihat seekor kancil menendang seekor anjing ketika baginda berehat di bawah pohon Melaka. Menganggapnya sebagai tanda "tuah", baginda menamakan negeri itu Melaka.Negeri Melaka kemudiannya meneruskan warisan Srivijaya sebagai sebuah entiti politik Melayu di kepulauan Melayu.[6][7]
Parameswara yang menjadi raja Melaka ketika itu dikatakan menyedari bahawa usaha untuk memajukan Melaka adalah dengan memperkembangkan Islam kerana pedagang dari Gujerat , India dan pedagang Arab dari Timur Tengah ramai berdagang di Nusantara. Oleh itu, menurut cerita itu, Parameswara berkahwin dengan Puteri Ratna anak Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Syah II, Raja Perlak dan memeluk Islam pada 1414.
Tanggapan yang umum itu berasal daripada tanggapan salah bahawa Parameswara dan Sultan Megat Iskandar Shah adalah tokoh yang sama. Kajian telah menunjukkan bahawa kedua-dua nama itu adalah dua tokoh yang berasingan (Wang Gungwu, 1968). Sebenarnya, Parameswara telah mangkat pada tahun 1414. Menurut laporan Ma Huan, Megat Iskandar Shah memeluk Islam ketika berumur 72 tahun kerana mengahwini puteri Raja Pasai dari Sumatera. [1]
Melaka kemudiannya telah menjadi satu pelabuhan perniagaan yang terpenting di Asia Tenggara di mana kapal-kapal perniagaan dari pelbagai bangsa berhimpun.
Pengiktirafan armada Laksamana Cheng Ho terhadap Melaka semakin menguntungkan Melaka. Cheng Ho atau Zheng He seorang yang berugama Islam. Nama asal Cheng Ho ialah Ma He. Ma bermaksud Mahmud. Ketika itu China ditadbir oleh Maharaja Yung Lo.
Kekuatan Kerajaan Melayu Melaka semakin terserlah di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah ( 1446- 1459 M) .Tenteranya berjaya menyekat serangan-serangan tentera Siam. Keadaan negara negara menjadi tenang dan kedudukan politiknya pula stabil.
Menurut Sejarah Melayu ("Malay Annals") yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada tahun 1565, Parameswara melarikan diri ke Muar tetapi diganggu oleh biawak yang tidak terkira banyaknya. Penetapan di tempat yang kedua di Kota Burok juga gagal kerana kubu pertahanan yang mereka cuba mendirikan runtuh dengan serta merta. Kemudian Parameswara berpindah ke Sening Ujong. Setelah berada di sana, beliau melantik seorang menteri untuk mewakili dirinya dan kemudiannya beliau tiba di Sungai Bertam, iaitu suatu kawasan persisiran pantai. Ketika itu, orang-orang Seletar mendiami di situ dan mereka meminta Parameswara menjadi raja.
Semasa berburu di muara Sungai Bertam, Parameswara ternampak seekor pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing pemburunya. Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu "Melaka".
Perutusan pertama dari China yang diketuai oleh Laksamana Yin Ching telah tiba di Melaka pada tahun 1403. Beliau telah memberi hadiah-hadiah kebesaran daripada Maharaja Yung Lo kepada Parameswara sebagai tanda persahabatan dengan negeri baru Melaka itu. Parameswara membalas hadiah-hadiah kebesaran kepada Maharaja Yung Lo pada 1405.
Parameswara memeluk Islam pada tahun 1409 dan telah menggelar diri baginda sebagai Raja Iskandar Syah. Baginda telah berkahwin dengan puteri Pasai, Indonesia. Pada tahun 1409 juga, Laksamana Cheng Ho telah singgah di Melaka dalam rangka lawatan beliau untuk meneroka dunia.[perlu rujukan]
Pada 1411, Parameswara telah membuat pelayaran melawat negara China dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Maharaja Ming, Yung Lo. Maharaja Yung Lo juga mengiktiraf Parameswara sebagai raja Melaka.[perlu rujukan]
“ | Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia | ” |
Perkembangan Melaka
Raja Iskandar Shah (Parameswara) mangkat pada tahun 1414 dan diwarisi oleh anaknya, Sultan Megat Iskandar Shah 1414-1424, Baginda kemudian digantikan dengan putera baginda, Sri Maharaja, yang kemudiannya mengambil gelaran "Sultan Muhammad Shah, Melaka" (1424-1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya dari isteri kedua baginda Puteri Rokan, Raja Ibrahim. Disebabkan pemerintah sebenarnya adalah oleh sepupu Puteri Rokan, orang-orang besar Melaka tidak setuju dan telah membunuh Raja Ibrahim dan dimakamkan dengan gelaran "Sultan Abu Syahid".
Kekanda Raja Ibrahim, Raja Kassim anak isteri pertama Tun Wati, menaiki takhta pada tahun 1445 dan memakai gelaran "Sultan Muzaffar Syah" (1445-1456) menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu.
Semasa pemerintahannya, pihak Siam membuat dua serangan ke atas Melaka. Serangan pertama diketuai oleh Awi Chakra melalui darat pada tahun 1445, tetapi telah ditewaskan oleh Tun Perak dan Tun Hamzah (Tok Bongkok) tidak jauh dari Muar. Pada tahun 1456, Siam melancarkan serangan kedua pada 1456 yang diketuai oleh Awi Dichu melalui laut, dan sekali lagi Tun Perak telah berjaya menewaskan mereka dan kali ini, dengan mudah. Selepas dua kekalahan di darat dan laut ini, Siam tidak lagi mencuba untuk menyerang Empayar Melayu Melaka. Tun Perak telah dijadikkan Bendahara dengan gelaran "Bendahara Paduka Raja". Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Kesultanan_Melayu_Melaka